Anak Muda Melayu Islam...Dimanakah silapnya?

Filed under: by: Mujahid Muda


Pada hari ini, saya ingin menceritakan serba sedikit pengalaman saya yang merupakan salah satu kupasan yang boleh mengajak sahabat sekalian berfikir sejenak tentang permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Pagi semalam, saya telah menemani rakan saya pergi ke mahkamah majistret untuk menyelesaikan kes trafik, iaitu kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen yang hidup[baca:lesen mati]. Ini adalah kali kedua saya menemani beliau ke mahkamah majistret, kerana ketika beliau menghadap mahkamah pada kali yang pertama, beliau menghadapi masalah kekurangan wang untuk membayar denda, maka kes itu telah ditangguh ke hari ini. Cuaca yang baik dan cerah pada pagi ini seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami untuk melapor diri di mahkamah, dan kira-kira pada pukul 9 pagi, kami tiba di mahkamah majistret, iaitu hampir sejam lewat daripada waktu yang diarahkan.

Apabila berbicara tentang mahkamah, kita seharusnya mengetahui bahawa mahkamah merupakan tempat dimana seseorang itu mendapat keadilan berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada. Di Malaysia, Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi dan mahkamah terakhir untuk membuat rayuan. Ini kerana sistem kehakiman di Malaysia adalah terbahagi kepada dua iaitu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Mahkamah-mahkamah rendah termasuklah mahkamah majistret dan mahkamah seksyen, manakala yang tinggi adalah mahkamah tinggi di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak serta Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan pada awalnya dikenali sebagai Mahkamah Agung tetapi digantikan selepas 24 Jun, 1994. Sistem Kehakiman di Malaysia adalah melibatkan undang-undang sivil, manakala Mahkamah Syariah pula akan mengadili perkara berkaitan dengan undang-undang Islam. Demikian lah serba ringkas tentang struktur institusi kehakiman negara kita, sebelum saya menjurus kepada beberapa cetusan seterusnya.

Berbalik kepada cerita tadi, apabila kami tiba di mahkamah, suasana sudah agak bising kerana kelihatan agak ramai orang sudah berada di ruang luar bilik perbicaraan kes. Kami masuk dan mengambil tempat duduk di hadapan sekali, dan sementara menunggu ketibaan hakim, kami berbual tentang beberapa perkara. Saya mengambil peluang ini untuk mengamati suasana di dalam bilik perbicaraan, melihat ragam manusia yang pelbagai. Ada yang kelihatan resah, ada yang hanya berdiam diri, ada yang sedang membelek fail, dan ada juga yang sedang berurusan dengan polis. Sementara itu, barisan pendakwaraya di hadapan sedang mengatur dan menguruskan dokumen-dokumen berkaitan perbicaraan. Mereka kelihatan serius tetapi mesra berinteraksi sesama mereka, sesekali memanggil OKS(orang kena saman) datang ke hadapan. Agak lama juga sidang mahkamah menunggu ketibaan hakim, iaitu kira-kira sejam.

¡°Dewan, bangun!¡± seru salah seorang pendakwaraya(mungkin) berketurunan India sebagai isyarat ketibaan hakim. Kami semua berdiri sebagai tanda hormat kepada hakim, seorang wanita Melayu yang agak lawa, berumur lingkungan 25 ke 30 tahun. Perbicaraan bermula, dimana pesalah dipanggil ke hadapan dan pendakwaraya membacakan pertuduhan satu persatu, dan kemudiannya pesalah boleh mengemukakan rayuan kepada hakim untuk dipertimbangkan. Prosedur yang biasa dalam sesebuah mahkamah majistret bagi kes-kes kesalahan trafik. Dalam banyak-banyak pertuduhan, saya merasa terkesan dengan kes salah seorang tertuduh, seorang perempuan Melayu yang telah disaman kerana telah memandu kereta dalam keadaan mabuk pada waktu malam. Salina binti Ibrahim (bukan nama sebenar) datang ke mahkamah dengan berpakaian agak seksi dan semestinya tidak menutup aurat bertemankan seorang rakannya, yang juga berpakaian sealiran dengannya. Setelah pertuduhan dibacakan, hakim telah menyoal perempuan itu dengan pelbagai soalan, yang saya kira cukup tegas. Antara soalan yang masih saya ingat ialah ¡° Bagaimana kamu boleh mabuk pada malam itu? ¡±, ¡° Bukankah kamu ni orang Islam? ¡±, ¡° Selain kamu orang Islam, bukankah kamu tahu bahawa tidak boleh memandu dalam keadaan mabuk? ¡±. Apabila diajukan dengan tembakan soalan tersebut, Salina menjawab, ¡° Maafkan saya tuan hakim, saya sebenarnya telah pergi ke function kawan saya, orang Cina. Saya dipaksa minum pada malam tu. Saya menyesal dengan perbuatan saya. Harap puan dapat ringankan denda yang dikenakan.¡± Jawapannya sungguh tidak boleh diterima. Bagaimana pula dia boleh mengatakan dia dipaksa minum arak pada malam tu. Adakah kawannya telah memegang badannya, membuka mulutnya dan kemudian menuangkan arak kedalamnya, sepertimana hendak memaksa seorang bayi memakan ubat? Alasan yang tidak munasabah.

Mungkin hakim, bahkan semua dalam mahkamah tidak boleh menerima alasannya yang tidak relevan itu. ¡° Kamu kata kamu terpaksa?¡± hakim cuba mendapatkan kepastian. ¡° Ya puan, saya terpaksa. Saya berjanji tak akan buat lagi. Ini adalah kali terakhir, saya berjanji tidak akan minum lagi. Ini adalah kali kedua, saya tidak akan ulangi lagi. ¡± ¡° Kali kedua? Maksud kamu ini adalah kali kedua kamu ditangkap atas kesalahan yang sama?¡± soal hakim lagi. ¡° Ya puan.¡± ¡° Saya masih belum nampak bahawa kamu menyesal dengan perbuatan kamu ni, sebab dari apa yang kamu cakap tadi, kamu telah pun melakukan perbuatan ni dua kali.¡± ¡°Saya betul-betul menyesal puan. Saya berjanji tak akan ulangi lagi. Saya dah serik puan. Saya mintak jasa baik puan tolonglah ringankan hukuman ni.¡± Suasana hening sebentar, dimana semua mata tertumpu pada interaksi antara Salina dan puan hakim. Pertembungan yang memberi ruang kepada hakim untuk berdakwah, walaupun kesannya mungkin tidak memberi dampak. Apapun, puan hakim tersebut telah pun melangsaikan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar nya melalui kedudukannya sebagai pembuat keputusan. ¡°2 hari penjara dan denda sebanyak seribu ringgit¡±, putus sang hakim akhirnya.

Apa yang menyedihkan saya ialah baru sahaja hakim mengumumkan keputusan, perempuan itu menoleh kebelakang sambil tersenyum sinis, mukanya langsung tidak menggambarkan kekesalan. Jelas bahawa sebentar tadi hanyalah drama semata-mata, iaitu bertujuan supaya denda dapat dikurangkan. Riak wajahnya mempamerkan kepuasan kerana telah berjaya memujuk hakim mengurangkan hukuman terhadapnya. Ketika itu, apa yang bermain di benak saya, ialah sejauh manakah sistem perundangan sekarang mampu menyelesaikan permasalahan jenayah? Kerana apa yang telah saya saksikan sebentar tadi, merupakan salah satu realiti bahawa manusia kini sudah TIDAK TAKUT untuk melakukan kesalahan, kerana undang-undang itu sendiri tidak mampu mengawal dan memperbetulkan mereka. Apa yang berlaku di depan mata saya sebentar tadi adalah seorang wanita Islam yang sudah begitu jauh dari Islam, tidak merasa kesal dan bersalah(dalam erti kata sebenar) apabila dibicarakan dalam mahkamah. Dia hanya akan cuba meloloskan diri dengan menampilkan lakonan drama di mahkamah. Saya termenung agak jauh memikirkan bahawa sememangnya manusia perlu kembali kepada hukum Allah, kerana ternyata sistem perundangan yang dicipta oleh manusia, tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan manusia. Sistem pada hari ini, ternyata gagal memenuhi dan mengembalikan fitrah manusia yang pada asasnya, suka akan kebaikan. Kebaikan kini tidak dapat mengetuk jiwa-jiwa manusia, lantaran kegagalan manusia sendiri dalam mengenalpasti saluran yang tepat. Islam sejak dahulu lagi, merupakan saluran yang tepat untuk memimpin manusia ke arah kebenaran dan kebaikan, kerana kedatangan Islam adalah menepati fitrah manusia itu sendiri

Mungkin satu persoalan yang perlu difikirkan bersama iaitu mengapakah manusia pada hari ini sudah tidak takut lagi kepada Penciptanya? Adakah memang sudah ditakdirkan bahawa umat Islam di akhir zaman ini merupakan umat yang rosak hubungannya dengan Allah? Segalanya berbalik semula kepada hakikat bahawa manusia pada hari ini tidak mengenali diri mereka dan juga Pencipta mereka. Mereka mungkin mengetahui serba sedikit tentang Islam dari perspektif adat kerana menganggap Islam itu adalah agama bagi orang Melayu, maka mereka menganggap kemasukan mereka pada Islam adalah kerana faktor mereka adalah orang Melayu, seterusnya tiada rasa kecintaan dan penghargaan mereka bahawa Islam adalah agama yang syumul. Perasaan ini kemudiannya apabila diadun dengan faktor kurangnya penekanan tentang nilai-nilai Islam oleh ibu bapa menyebabkan Islam pada pandangan mereka, adalah suatu agama yang hambar dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap perubahan hidup mereka. Islam lebih dilihat sebagai suatu label kepada mereka, yang membezakan antara mereka dengan kaum-kaum yang lain. Ditambah lagi dengan asakan oleh sekeliling, baik media massa mahupun saluran lain, menyebabkan mereka menganggap Islam itu tidak lebih dari satu item yang hanya berguna sebagai pengenalan diri dan bangsa, atau sekadar diperlukan untuk mengisi borang-borang.

Berdasarkan pengamatan saya, dalam konteks di Malaysia, saya melihat bahawa ruang untuk mempromosikan keindahan dan kesyumulan Islam amat terhad, dan jika ada pun, adalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Penyiaran rancangan-rancangan televisyen berunsurkan islamik hanyalah diolah dalam bentuk yang terlalu moderate sehingga menenggelamkan keberkesanan mengetuk jiwa-jiwa manusia. Format yang agak lapuk, konvensional ini membuatkan ianya hanya sesuai untuk golongan tua, sedangkan jiwa-jiwa muda ini tidak berselera untuk sekurang-kurangnya meluangkan setengah jam pun untuk mendengar tajuk yang dikupas. Inilah yang saya maksudkan sebagai melepaskan batuk di tangga. Kerana itulah saya menganggap bahawa telah menjadi suatu keperluan yang mendesak untuk mahasiswa Islam memenuhi kelompangan ini, dengan menceburi bidang penyiaran media, supaya dakwah Islamiyah dapat direncanakan melalui platform yang berkaitan. Biarlah mereka yang sedar diri menggantikan tempat golongan yang tak sedar diri ini yang hanya menambah barah dalam permasalahan sosial semasa.

Baru-baru ini saya telah menghadiri suatu kuliah maghrib yang disampaikan oleh Al Fadhil Al Ustaz Masridzi bin Sat, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID). Beliau merupakan seorang pendakwah yang amat berpengalaman, iaitu hampir 15 tahun menceburi bidang dakwah secara aktif. Beliau telah menceritakan serba sedikit pengalaman beliau dalam arena ini, sebagai suatu ketukan kepada hadirin bahawa usaha dakwah ini bukanlah suatu omongan kosong, bahkan sebagai suatu sintesis terhadap teori-teori yang selama ini membeku didalam kepala. Beliau menyelar kebanyakan kita, yang tidak mahu turun padang, menyingsing tangan menangkis serangan akidah yang dilancarkan kepada kelompok anak muda Malaysia, sebaliknya hanya terperuk di kampus, sedangkan disekeliling kita terlalu ramai sasaran dakwah yang begitu dahagakan belaian insan yang boleh memimpin mereka ke jalan kebenaran. Mereka perlukan bimbingan, bukannya labelan dan disisih dari masyarakat. Apabila kita menganggap mereka sebagai orang-orang yang tersalah langkah, dan bukannya golongan fasik, maka sebenarnya kita telah membuka suatu pintu interaksi harmoni antara kita dan sasaran, bukannya satu tempelakan kepada sasaran, yang hanya akan membuatkan mad'u kecil hati dan merajuk dengan sikap pendakwah. Terlalu banyak bongkaran yang dibuat oleh Ustaz Masridzi untuk diceritakan, namun apa yang pasti, masih terdapat tembok besar China antara pendakwah dan sasaran dakwah yang perlu dipecahkan. Serangan akidah makin bertambah, apakah kita mahu disengagement juga bertambah?

Senario yang saya perlihatkan kepada sahabat pada awal penulisan tadi, merupakan suatu pencetus untuk kita berfikir, bahawa keterhakisan identiti bangsa Melayu sebagai kaum utama yang sinonim dengan Islam telah berada di tahap yang amat membimbangkan. Nilai dan jatidiri telah beransur hilang, yang tinggal hanyalah Islam di kad-kad pengenalan, borang biodata diri dan pelbagai borang lain. Pada hari ini kita akan melihat hilangnya malu manusia untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Islam, dan dalam masa yang sama, mengaku bahawa mereka adalah Muslim. Pelik bukan? Inilah realiti. Saya pasti, bukanlah sekali dua hakim menyelesaikan kes kesalahan trafik disebabkan memandu dalam keadaan mabuk, bahkan mungkin hakim telahpun menyaksikan lambakan anak muda MELAYU ISLAM yang dihadapkan atas kesalahan yang sama. Saya juga pasti bukan sedikit anak muda MELAYU ISLAM yang ditemui krew Edisi Siasat dan Bongkar di ceruk-ceruk lorong mati dan di pusat-pusat hiburan dan pelacuran. Sedangkan kita mahasiswa Islam masih lagi mementingkan diri sendiri di kampus, kononnya tugas mereka hanyalah belajar, dan bukannya berinteraksi dengan permasalahan sekeliling. Sudahlah tidak membantu, malah masih lagi menyokong kelompok mahasiswa yang membawa doktrinisasi hedonisme melampau, dengan alasan bahawa menyokong kelompok yang memperjuangkan Islam di kampus hanya akan menyebabkan hilangnya tempat di kolej kediaman, dilabel, dicop sebagai pembangkang dan sebagainya. Begitulah kejayaan sistem kapitalisme dalam membentuk robot-robot yang tidak berhati perut, mementingkan diri sendiri, materialisme dan perut semata-mata. Hilangnya semangat jihad untuk mempertahankan kesucian akidah kerana dunia ini telah menenggelamkan mereka daripada berfikir untuk Islam tercinta. Adakah anda juga mahu tergolong dalam golongan ini? Fikir-fikirkanlah.

¡° Selamat Menjiwai dan Berfikir¡±

1 comments:

On February 28, 2013 at 6:05 AM , zulkeplee @ ibrahim meni said...

Terlalu banyak silapnya, islam di anak tirikan, hiburan terlalu banyak, kurang siaran islam, penguatkuasaan longgar, penjagaan tepi kain tidak diambil kira, program di masjid kurang, ibu bapa kurang pendidikan, terlalu kejar dunia, kerajaan kurang perhatian