Peredaran masa dari detik ke detik sebenarnya menghasilkan pengaruh yang luas terhadap system dan tatacara kehidupan manusia. Sejarah sebelum kehadiran Nabi Muhammad S.A.W membuktikan bahawa bangsa Rom dan Parsi pernah mendepani tamadun peradaban manusia ketika itu dengan memanipulasikan sebanyak mungkin kemahiran dari sudut ilmu dan teknologi. Namun kemajuan yang dicapai itu tidak memberi saham dan nilai dari sudut pembangunan insan kerana wujudnya elemen-elemen yang tidak menlahirkan rasa ‘ubudiyyah kepada Khalidnya, Allah S.W.T.
Ledakan perkembangan teknologi yang melanda bumi dewasa ini perlu dilihat secara positif oleh warga umat Islam sekarang. Walaupun ianya mampu mengundang kesan-kesan positif yang mampu meracuni pemikiran umat islam kearah perkara-perkara yang lagho dan membuang masa, namun kita sepatutnya mengaplikasikan teknologi ini sebagai wasilah untuk kita mengutarakan mesej dakwah serta seruan kebangkitan untuk kita mengembalikan sinar keizzahan Islam di seluruh dunia.
Khalifah keenam Kerajaan Umaiyah, al Walid bin Abdul Malik yang berani untuk menjadi perintis kepada kerja-kerja penterjemahan teknologi Yunani kepada bahasa Arab dan cuba melakukan proses transformasi aplikasi teknologi daripada berasaskan madiah kepada suatu kemajuan yang berasaskan kepada roh tauhid wajar dicontohi oleh kita semua. Walaupun usaha beliau pada awalnya dipandang serong oleh segelintir cendiakawan Islam ketika itu, namun usaha itulah yang telah melahirkan ramai cendiakawan Islam terbilang.
Namun umat islam selepas itu dibuai dengan kemewahan, mereka terleka daripada menyalurkan segala teknologi yang ada kepada jalan yang diredhai Allah S.W.T. Bermula dengan kekalahan Bani Abbasiyah akibat serangan Mongul, diikuti dengan pencerobohan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella ke atas Kerajaan Andalus, diteruskan lagi dengan ancaman Israel (laknatullah) terhadap tanah suci ketiga umat islam, umat Islam mula diundang episod ngeri lantaran kegagalan membawa amanat yang diberikan oleh Allah ke atas bahu mereka.
Namun suatu kesilapan yang amat besar apabila meletakkan segala kelebihan yang dikurniakan jauh dari mencari keredhaan dan ketaatan kepadanya. Allah berfirman,
وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan (hikmahnya) untuk menyembahKu (mengabdikan diri kepadaKu)."
Dari itu, kecanggihan teknologi yang wujud perlu diaplikasikan seoptimum mungkin demi mengembalikan keizzahan Islam di seantero dunia. Semua teknologi yang hadir dikaca mata dunia sekarang perlu dimanfaatkan oleh kita sebagai senjata bagi melengkapkan segala kekuatan.
Maka selaku umat Islam yang dikurniakan akal fikiran yang intelek olehNya serta keinginan untuk mendalami ilmu agama, seharusnya kewujudan teknologi moden di akhir zaman ini diterima sebagai pemangkin memperkuatkan Islam di mata masyarakat. Dari itu tidak sewajarnya penguasaan teknologi terkini dibiarkan menjadi senjata barat semata-mata tanpa serang balas yang padu dari pendukung Islam. Justeru, penuntut ilmu Islam harus bijak mengendalikan kemajuan teknologi selaras dengan keperluan ummah dan sekaligus menolak penyalahgunaan teknologi yang mengundang keruntuhan aqidah, akhlak dan moral masyarakat Islam.
Dari,
MOHD DZULHUZMI NASRUDDIN
TAHUN SATU KEJ-AWAM

0 comments: