Kecemerlangan Akademik Wahana Keizzahan

Filed under: by: Mujahid Muda

Fenomena yang berlaku kini begitu menggamit kehadiran du’at yang benar mampu menguasai segenap aspek ilmu pengetahuan. Penguasaan ini sebenarnya bukan sahaja tertumpu kepada ilmu-ilmu berbentuk turathi malahan juga penguasaan ilmu-ilmu berbentuk semasa dan moden. Masyarakat kini yang hidup di zaman serba moden dengan gelodakan pelbagai ideologi dan fahaman telah meletakkan akademik sebagai kayu ukur ketinggian ilmu setiap individu. Individu yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik akan diiktiraf sebagai pemimpin dan ayam tambatan masyarakat sebaliknya individu yang tidak memiliki kejayaan akademik sudah pasti dipinggirkan dan tidak dipandang sebagai golongan yang mampu membawa sinar buat masa depan masyarakat di alam yang serba maju.
Seorang hukama’ ada menyatakan :-

“Orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan akan mampu memberi sesuatu”.



Situasi ini biarpun disanggah oleh kebanyakan penuntut ilmu namun kefahaman kurang tepat ini sudah sebati dan berakar umbi dalam pemikiran masyarakat moden hari ini yang akhirnya menuntut kepada setiap da’ie berusaha keras mendapatkannya sebagai aset dan wasilah survival dakwah yang makin mencabar. Bukti jelas tokoh-tokoh akademik ini telah diutamakan dapat dilihat melalui senario pilihanraya tanahair yang masih terasa bahangnya apabila kebanyakan calon yang bertanding dan menjadi pilihan utama kepemimpinan setiap parti adalah golongan akademik tidak kira sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Mengenai soal kepimpinan ini Saidana Umar r.a. telahpun berpesan :


“Bertafaquhlah sebelum kamu menjadi pimpinan”.


Bukan sekadar itu malahan hampir kesemua bidang kerjaya di tanahair telah meletakkan pencapaian akademik sebagai perkara utama kelayakan selain pengalaman dan kepetahan berkata-kata dalam sebilangan bahasa.

"sempat penulis bergambar ngan abg-abg yang telah banyak menabur bakti pada junior dan kampus UTM. terima kasih daun keladi"


(dari kanan, abg zainal, Dzulhuzmi, dan abg khairil anuar)



Demikian juga kita yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi Islam tidak akan terlepas daripada penilaian masyarakat tersebut. Malah pencapaian akademik adalah lebih utama dan diperlukan lantaran kita sebagai golongan pendukung ilmu agama Allah yang membawa imej Islam di mata masyarakat. Kejayaan kita sebenarnya membawa Izzah kepada Islam, sebaliknya kecacatan juga kelalaian menempah fitnah dan hijab buat Islam. Maka tidak hairanlah kita melihat masyarakat merendah-rendahkan penuntut ilmu agama Allah, suatu situasi yang tidak sepatutnya berlaku. Ini jelas kelihatan apabila mahasiswa dan mahasiswa kini semakin pudar keizzahannya di mata masyarakat tanahair lantaran tohmahan kecorotan akademik yang dimainkan oleh media. Biarpun situasi ini tidak tepat pada keseluruhannya namun fitnah ini telah menjadi buah mulut masyarakat dan tiada penyelesaian untuk menafikannya kecuali membuktikan dengan tindakan dan kejayaan akademik yang cemerlang.



Justeru, bertitik tolak dari kesedaran ini maka penggemblengan usaha dan tenaga yang padu di kalangan mahasiswa dan mahasiswi Islam perlu disegerakan bagi mengembalikan keizzahan Islam yang semakin pudar. Api tohmahan yang dilontar harus dipadamkan dengan penumpuan yang sewajarnya kepada bidang akademik. Kehadiran ke kuliah dititikberatkan, di samping kewajipan kita dalam persatuan tidak diabaikan. Kikiskan budaya belajar hanya pada saat-saat hampir imtihan. Sebaliknya jadikan kuliah sebagai medan ilmu pengetahuan. Kita kerahkan tenaga dan upaya ke tahap optimum mencari ilmu dan kejayaan akademik sebagai wasilah dakwah di tanahair.



Kesilapan semalam dijadikan pengajaran, tenaga dan minda dikerahkan berdasarkan perancangan teliti buat hari yang mendatang. Kita kembalikan kegemilangan mahasiswa dan mahasiswi terdahulu yang penuh izzah dengan kejayaan akademik dan thaqafah diri sehingga digeruni dan disegani pihak kawan dan lawan walaupun mereka dilontarkan dimana-mana sahaja. Jadikan kemunculan kita sebagai pembawa sinar keizzahan yang hakiki. Tekadkan di jiwa kecemerlangan akademik wahana keizzahan.


"Selamat berjuang di medan masyarakat kepada akak-akak dan abg-abg yang telahpun mengakhiri tempoh pembelajaran di Kampus UTM. adek mu disini akan terus menyambung perjuangan di kampus. doakan adek tabah dan sabar dalam menelan dugaan dan cabaran perjuangan disini. takbir!!!"





0 comments: