Dalam selang masa silih berganti, kita akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang menggembirakan, menyeronokkan malah kesedihan bahkan mengecewakan. Setiap hari juga, kita dihidangkan dengan suasana persekitaran yang tenang dan selamat (lebih tepat suasana ini bagi kita semua di Malaysia ) atau dalam erti kata lain berada dalam ‘comfort zone’. Meskipun fitrah gembira dan sedih sudah menjadi lumrah kehidupan, tetapi mengapa setiap kali merasai perasaan itu, hati dan jiwa kita akan tetap berasa pelik dan hairan dengan kejadian yang menimpanya. ‘Kenapa aku gembira?’ Jika kita gembira. ‘Kenapa aku yang perlu mengalami ujian sebesar ini?’ Jika kita sedih. Lantaran, memang dijadikan sifat manusia sedemikian. Subhanallah. Masya Allah.
Dalam kita mengeluh menghadapi masalah seharian, kita akan sering mendengar kata-kata semangat dan dorongan, setiap masalah ada penyelesaian, masalah itu kehidupan dan sebagainya. Kita sememangnya memerlukan perhatian daripada sahabat-sahabat, ahli keluarga dan orang-orang disekitar kita untuk menghilangkan perasaan gundah dan tak tenteram kita. Tetapi bagaimanakah perhatian yang diberikan oleh orang-orang disekitar kita? Kerana itulah dalam bersahabat, kita mempunyai tiga rukun yang perlu dicapai secara bersama, kerana erti persahabatan itu pada memberi, bukan sekadar menerima.
Tiga rukun bersahabat atau berukhwah. Yang pertama, tasammur(kesefahama n), kedua husnu zhon(bersanga baik) dan yang terakhir ithar(melebihkan sahabat). Persahabatan yang sebenarnya adalah persahabatan antara dua sahabat yang saling berlumba untuk mencapai tahap ukhwah tertinggi iaitu ithar. Tetapi sejauh manakah kemampuan kita untuk mencapai tahap tertinggi itu? Kita sering berasa lemah dan rendah diri selain berasa serba kekurangan untuk mencapai tahap ukhwah yang paling tinggi. Kerana itu, sepertimana yang disebutkan tadi, perlu ada komunikasi dua hala yang baik dalam persahabatan untuk saling memberi dan menerima. Apabila kita tidak berasa sempit dada untuk memberi, maka setidak-tidaknya kita telah mencapai sedikit peratusan dalam tahap ithar. Walau bagaimanapun, mencapai tahap tasammur dan husnu zhon juga adalah sesuatu yang amat penting kerana tanpa keduanya kita tidak akan dapat mencapai tahap ithar, juga tanpa keduanya tidak ada permulaan sebuah persahabatan.
Perbincangan tentang ukhwah sering menjadi topik hangat terutama dalam berjemaah kerana ukhwah adalah elemen yang sangat penting sebagaimana ukhwah telah digariskan sebagai rukun bai’ah yang kesembilan oleh as-Syahid Imam Hasan al-Banna. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah berfirman dalam surah Ali Imran sebelum menyatakan ayat perlunya ada jemaah dalam kelompok muslimin, yang mana Allah Ta’ala telah memerintahkan kaum muslimin untuk mempunyai dua tiang seri sebagai asas dalam berjemaah iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Ta’ala dan yang keduanya persaudaraan yang ikhlas hanya kerana Allah (rujuk ayat 102-104).
Jelas disini betapa pentingnya kedudukan ukhwah untuk difahami oleh seluruh umat manusia kerana fitrah kita memerlukan adanya hubungan, lebih-lebih lagi bagi kelompok petugas dakwah. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama mengkoreksi diri agar dapat menilai sejauh mana kita telah berukhwah dengan sahabat-sahabat kita dan sejauh mana kita telah menetapkan ukuran persahabatan kita hanya kerana Allah, semata-mata untuk mendaulatkan Islam tercinta.
Mendidik hati untuk menerima kesedihan dan kepedihan.
Kerana perjuangan itu dipenuhi kepahitan,
Yang memaniskannya hanya ukhwah dan ubudiyah.
Salam perjuangan, mahabbah fillah.
Moga akhirnya kita bertemu di Jannah.
MEMBINA UKHWAH
MERENCANA JEMAAH
MENTADBIR DAULAH
Siti Norhani
Mahasiswi Tahun Pertama
Universiti Malaya
0 comments: