Warqah Anwar 1

Filed under: by: Mujahid Muda

Sehari suntuk saya mengetuai sidang mesyuarat Lembaga Yayasan Masa Hadapan (Foundation For The Future). Dalam struktur lembaga, ada pengerusi sukarela (tanpa elaun) dan ada presiden selaku CEO bertugas sepenuh masa.
Kita masih meneliti nama calon layak sebagai presiden, sebaiknya dari rantau Arab. Mana tahu jika ada calon keturunan Arab dari Malaysia, boleh juga dipertimbangkan, haha! Gaji lumayan, tetapi harus telus dengan peraturan dan pengawasan audit yang ketat. Maka menteri Umno pastinya automatis terbatal!

Sementara itu mesyuarat memutuskan agar saya bertugas selaku pengerusi merangkap presiden. Saya akhirnya terpaksa menerima dengan memberikan dua syarat: pertama, untuk beberapa bulan sahaja dan mengendali tugas dari Kuala Lumpur. Kedua, saya bertugas sukarela dengan dibantu seorang setiausaha di KL yang dibayar oleh yayasan tersebut.
InshaAllah kita akan dapat memilih calon presiden dalam tempoh terdekat dan beban saya dapat dikurangkan. Ada percubaan nakal media Umno-BN mengaitkan yayasan dengan Amerika dan yahudi. Walhal, cadangan pembentukan di akhir 2005 adalah dalam sidang menteri Arab, Afrika Utara, G8 dan Eropah bersama badan NGO di Bahrain.

Setakat sumbangan hanya dari Turki, Jordan, UK, Switzerland, tanpa dana dari Amerika. Majoriti ahli lembaga adalah dari dunia Arab dan Turki. Sidang meluluskan projek pusat media bebas dan memperkukuh suruhanjaya pilihanraya bebas Palestin, penubuhan institusi penggalak NGO, kerja amal berjumlah jutaan ringgit, termasuk di Lubnan, Mesir dan Maghribi (Morocco). Pejabat di Amman, Jordan mulai beroperasi setelah tergendala penyusunan pejabat di Beirut.

II. Wacana Panjang Bersama Sheikh Taha Jabir Al-Elwani

Selesai mesyuarat lembaga Foundation For The Future semalam, saya terus mengadakan pertemuan panjang dengan ulama usul fiqh terkenal Sheikh Taha Jabir Al-Elwani. Beliau berada di Bahrain untuk bertemu dengan Ulama’ dan Menteri Hal Ehwal Islam.

Selain perbualan biasa urusan keluarga dan perkembangan serantau dan di Malaysia, saya memohon penjelasan mengenai beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam buku terbarunya mengenai isu murtad. Buku tersebut sudah berulangkali dicetak dalam bahasa Arab. Tetapi terjemahan bahasa inggeris masih dalam percetakan. Saya perolehi naskah awal dari penerbit, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, dengan izin pengarang.

Sheikh Taha berhujah berdasarkan prinsip Al-Quran dan Sunnah, merujuk kepada kitab-kitab muktabar dan wacana semasa. Menurutnya, tanggapan Al-Quran haruslah lebih mendalam, meresapi maksud selain tafsir dan tawil. Tambah beliau lagi, baki hidupnya akan dimanfaatkan sebaiknya dengan mengupas maksud Al-Quran dan mengajak umat menghayati Al-Quran.
Dan menyentuh isu murtad secara khusus, beliau melahirkan kebimbangan kerana isu aqidah dan kepercayaan kini turut dipolitikkan. Umat perlu mendalami kefahaman tentang agama, jangan mudah diperdaya dengan sogokan atau dakyah anti agama. Kini cabaran terhadap umat, dari keadaan kecamuk di Iraq dan Afghanistan, kegelisahan rakyat Palestin dan Lubnan sehinggalah isu ekonomi dan kebudayaan.

Beliau ulangi keperluan menimba turath - khazanah dan warisan Islam, dengan tunggak ilmu dan keadilan. Tanpa penguasaan ilmu dan amal yang setimpal, apa yang diluahkan adalah propaganda dangkal, semangat dan sentimen melulu. Wacana segar masih kabur kerana persekitaran tidak mengizinkan.Kalangan yang sedar dalam masyarakat harus terus mempelopori gerakan pembaharuan.

III. Gayu Guru Gerai Nyamai

Saya ingin mengucapkan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada semua orang Dayak Malaysia. Selepas setahun membanting tulang, adalah tepat untuk semua keluarga Dayak dan Malaysia secara keseluruhannya untuk berkumpul dan menikmati hasil kerja keras mereka. Ini adalah semangat Malaysia sebenar di mana kita bekerja keras dan kemudian meraikan musim perayaan dengan keluarga dan sahabat handai di dalam suasana muhibbah dan harmoni.

Namun, kaum Dayak tidak boleh alpa. Rakyat Sarawak berhak sesuatu yang lebih baik. Di dalam negeri yang dianugerahkan dengan hasil mahsul yang banyak seperti balak, minyak, gas dan paling penting sekali rakyat yang tekun berusaha, negeri Sarawak seharusnya menjadi yang paling mewah di dalam negara kita, jika tidak di rantau ini sekalipun. Hakikat bahawa Sarawak terus ketinggalan ialah suatu gambaran jelas tentang betapa menularnya rasuah di Sarawak. Hasil kerja keras rakyat Sarawak telah dirampas untuk memperkayakan golongan tertentu, sedangkan orang ramai terpaksa berhempas pulas untuk hidup.

Saya ingin menjemput semua kaum Dayak dan rakyat Sarawak untuk meneruskan sokongan teguh mereka untuk perubahan, untuk sebuah Sarawak di mana kemewahan negeri dapat dinikmati semua.

0 comments: