KEPIMPINAN (versi 1)

Filed under: by: Mujahid Muda

Pendahuluan
Penerimaan Islam secara meluas di Nusantara pada abad ke 13 masihi telah mengubah banyak nilai dalam masyarakat tempatan, termasuk yang berkait dengan "kepimpinan". Bermula daripada waktu itu Islam telah mengambil peranan kepimpinan yang meluas dan merangkumi hampir semua kegiatan hidup termasuk keagamaan, Ibadat, keilmuan, sosial, politik dan sebagainya.1
Asas utama kepada kepimpinan yang meluas ini 1alah sifat Islam sendiri yang menyeluruh. Misalnya, akidah atau pegangan hidup yang dibawa oleh Islam bukan sekadar menyentuh soal ketuhanan dan alam metafizika sahaja, tetapi juga merangkumi alam dan manusia. Dalam konsep yang luas ini, syirik iaitu pelanggaran terhadap prinsip tauhid yang menjadi asas aqidah berkenaan, bukan sahaja boleh berlaku disebabkan oleh penyembahan berhala atau memuja kuasa-kuasa ghaib semata-mata tetapi juga meliputi pemujaan terhadap sesama manusia dan kuasa-kuasa material dalam kehidupan biasa.
Berasaskan akidah ini Islam menegaskan bahawa alam dan manusia bukan suatu misteri, tetapi boleh difahami. Manusia adalah hamba Tuhan yang diberi peranan sebagai khalifah dibumi ini. Sedangkan alam dicipta untuk faedah dan kepentingan manusia.
Dalam hubungannya dengan hidup dan kebudayaan, akidah merupakan asas pemikiran bagi sistem keilmuan dan kemasyarakatan, termasuk sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Bagi melaksanakan kepimipinan tersebut, dari segi akidah dan kepercayaan, Islam mengubah pandangan orang Melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti di zaman Hindu kepada mempercayai tuhan yang Maha Esa. Disamping itu mereka dibimbing mempercayai Nabi-Nabi, Rasul, Malaikat, Kitab-Kitab Suci, Hari Kiamat dan Qadha dan Qadar. Kemudian diikuti oleh kepimpinan kearah menunaikan amal Ibadat seperti yang terkandung dalam rukun Islam yang lima dan yang selain daripada itu.2
Di bidang adat dan istiadat pula, bagi mengubah tradisi animisme dan Hinduisme, agama Islam telah memimpin orang-orang Melayu kearah mengenali dan mengamalkan adat istiadat Islam sebagai ganti. Adat istiadat itu dilakukan sejak daripada individu itu lahir ke dunia hinggalah ke hari kematiannya.3
Dalam aspek keilmuan, Islam telah memimpin masyarakat Melayu kearah menenali pengetahuan yang bercorak falsafah.4 Dengan itu Islam telah memperkenalkan pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual dalam masyarakat Melayu. Tamadun Islam telah mengubah penekanan daripada unsur-unsur estetika dalam kebudayaan Melayu seperti yang biasa berlaku pada zaman Hindu kepada pemikiran yang bercorak akliah.5 Dengan itu Islam mengubah tasawwur orang Melayu daripada yang bercorak metologi fantasi kepada pemikiran yang bercorak intelektual yang berdasarkan falsafah Islam dan mistik yang rasional dan ilmiah. Dengan itu Islam menekankan kedua-kedua aspek jasmani dan rohani untuk membangunkan masyarakat Melayu.
Dari segi sosial pula Islam menekankan unsur-unsur persamaan, keadilan dan sebagainya. Dengan itu Islam telah membawa satu perubahan yang radikal sebagai ganti kepada sistem Kasta Hindu yang membahagikan penduduk alam Melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India. Islam juga menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan dikalangan penduduk alam Melayu melaui konsep ummah atau masyarakat Islam.6
Dari segi politik pula, Islam telah membawa banyak perubahan. Misalnya, sistem feudalisme Hindu digantikan dengan sistem feudalisme yang diperkenalkan pada zaman kerajaan Abbasiah. Islam telah memberi corak keislaman dalam sistem kesultanan Melayu. Misalnya konsep Diraja telah diubah sifatnya daripada penjelmaan dewa kepada seorang pemerintah atau pemimpin rakyat sahaja. Sultan dalam pengertian Islam seharusnya menjalankan pemerintahan dengan adil dan bertimbang rasa kepada rakyat serta bertindak mengikut perintah Allah, membuat kebaikan dan mencegah kejahatan.7
Dalam bidang kesenian Islam telah mempengaruhi semua bidang kesenian Melayu, baik dalam seni lagu, seni tari, seni ukir, seni bina, seni hiasan, maupun seni drama. Begitulah juga dalam hal kesusasteraan.8
Kepimpinan Yang MenyeluruhKepimpinan biasa dihuraikan sebagai peranan sosial yang dimainkan oleh pemimpin dan diterima secara sepontan oleh pihak yang dipimpin berasaskan proses interaksi antara kedua belah pihak.9 Dalam konteks kertas kerja ini Islam dilihat sebagai suatu institusi kepimpinan yang memainkan peranannya berasaskan penerimaan masyarakat umum secara sepontan melaui proses interaksi yang tertentu.
Ternyata daripada apa yang dihuraikan di atas bahawa Islam, sejak mula kedatangannya lagi ke Nusantara telah memainkan peranan kepimpinan yang meluas, bukan sekadar sebagai agama dalam konsepnya yang sempit tetapi juga sebagai cara hidup dalam konsepnya yang luas dan menyeluruh.
Berdasarkan kepimpinan yang luas dan menyeluruh seperti itulah Islam berjaya menubuhkan masyarakat dan negara Islam di rantau ini. Di Malaysia, masyarakat dan negara Islam seperti itu mula ditubuhkan di Melaka pada awal abad ke Lima belas.10 Kemudian ia berkembang ke merata tempat diseluruh semenanjung, begitu juga ke Sabah dan Sarawak.11
Bagaimanapun, tempoh kepimpinan Islam yang menyeluruh ini tidak kekal lama. Bermula daripada kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511 M. Kepimpinan Islam di rantau ini mula tersingkir, bukan sahaja dalam aspek politik dan pemerintahan, tetapi juga dalam aspek-aspek yang lain termasuk pendidikan dan tamadun.
Terutama di bawah penjajahan Inggeris, Islam tidak lagi memainkan peranan pemimpin di Malaysia kecuali dalam hal-hal Ibadat ritual dan pendidikan agama dalam konsepnya yang sempit.
Malah, apabila Malaysia mencapai kemerdekaan dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, kepimpinan Islam di rantau ini gagal dibangkitkan kembali. Sebelum pemergian mereka, penjajah telah selesai menyiapkan pelapis dari kalangan penduduk Malaysia sendiri yang bakal mengambil alih kepimpinan berasaskan Sekularisme/Libralisme barat. Dengan itu kepimpinan Islam kekal di takok lama iaitu berfungsi hanya dalam aspek Ibadat ritual dan keagamaan dalam konsepnya yang sempit sahaja. Malah ia begitu terpinggir dan tidak termasuk dalam "arus perdana".
Penerimaan masyarkat Islam di Malaysia terhadap sekularisme barat telah meletakkan Islam sebagai satu "agama" pada suatu pihak disamping urusan kenegaraan di pihak yang satu lagi. Dualisme ini telah mempengaruhi corak umum kehidupan bermasyarakat dan bernegara dan menyukarkan kepimpinan Islam yang sebenarnya untuk berfungsi sepertimana sepatutnya.
Fenomena ini bukan sahaja lahir akibat daripada pengaruh barat, tetapi diperkukuhkan lagi oleh masyarakat Islam sendiri, termasuk mereka yang komited dengan pengajaran Islam. Bagi menghadapi kekuasaan penjajahan di negara ini para pemimpin Islam sendiri telah membina benteng pemisah antara Islam dan kehidupan harian dalam negara dengan alasan bahawa apa yang diamalkan di bawah kuasa penjajahan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan perlu dijauhi.
Usaha Kebangkitan Semula Kepimpinan IslamDengan lain perkataan, secara umumnya, sejak kekuasaan penjajah sampai sesudah merdeka, Islam di Malaysia telah diletakkan oleh para penganutnya pada kedudukan difensif. Kedudukan yang negatif ini telah menjadikan kepimpinan Islam seolah-olah kehilangan fungsi dan tidak berdaya lagi untuk kembali berperanan terutama kerana masyarakat telah jauh lebih maju daripada cita-cita kepimpinan Islam sendiri yang ada.
Akan Bersambung pada versi 2......

0 comments: