Memahami Dan Melunasi Tanggungjawab Siasi

Filed under: by: Mujahid Muda

Senario massa jelas menyaksikan kesedaran berpolitik yang kian marak di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa di Malaysia. Isu-isu politik yang hangat dan sensitif tidak lagi menjadi perkara yang asing untuk dipolemikkan di khalayak umum. Hal ini telah menarik golongan mahasiswa di tanahair untuk terbabit secara langsung dalam kancah sepak terajang itu lantas memberikan saham yang besar dalam mewarnai corak pemikiran dan hala tuju masyarakat bagi menentukan masa hadapan mereka secara lebih bijaksana.


'Hal ini telah menarik golongan mahasiswa di tanahair untuk terbabit secara langsung dalam kancah sepak terajang itu lantas memberikan saham yang besar dalam mewarnai corak pemikiran dan hala tuju masyarakat bagi menentukan masa hadapan mereka secara lebih bijaksana.'


Dalam hal ini, mahasiswa dan mahasiswi yang lebih memahami idealisme perjuangan Islam tidak sepatutnya memberikan alasan yang serupa untuk terlepas daripada melunasi tanggungjawab siasi yang terpundak di bahu mereka. Bahkan mereka sebenarnya yang perlu memahamkan masyarakat bahawa selagi tidak terlaksana sistem kenegaraan Islam sepenuhnya, selagi itu usaha-usaha pengislahan perlu diteruskan. Maka, usaha-usaha untuk memupuk kesedaran yang menyeluruh di kalangan ahli gerakan Islam tentang tanggungjawab siasi ini perlu dipergiatkan. Mereka perlu disedarkan bahawa sumbangan yang perlu diberikan adalah bermula semenjak alam kampus lagi dan tidak menunggu sahaja untuk menyumbang setelah pulang ke negeri masing-masing tanpa melakukan sesuatu. Banyak bukti menunjukkan bahawa pengalaman yang diperolehi melalui penglibatan dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan dikampus amat membantu perlaksanaan tugas dakwah sama ada dalam aspek sosial, politik mahupun ekonomi.

Terdapat sebilangan mahasiswa yang memiliki kesedaran untuk melunasi tanggungjawab ini, tidak mengetahui saluran yang sepatutnya didahulukan dalam memberikan sumbangan. Tindak-tanduk bersendirian tanpa haluan sebegini wajar diperbaiki agar lebih terarah lantas menatijahkan momentum yang maksimum ke arah anjakan reformasi sosio-politik tanah air yang lebih gemilang. Lalu, kesedaran yang ada wajar digembleng secara jamai’e untuk memecah kebuntuan yang menyelubungi senario politik tanahair seumpama gejala penolakan terhadap perlaksanaan perundangan Islam di kalangan pemimpin Islam dalam negara, masalah perpecahan etnik, pertikaian terhadap perlaksanaan sistem pilihanraya, krisis hubungan antarabangsa antara Malaysia dengan negara-negara barat dan sebagainya. Hal sebegini akan mematangkan kita untuk ketika berhadapan dengan reliti, di samping membuka saluran bersuara untuk diambil perhatian oleh pihak-pihak terbabit. Sungguhpun sebahagian daripada perkara ini telah dilaksanakan, namun penglibatan para mahasiswa adalah pada tahap yang sangat minimum dan tidak menyeluruh.

Bagi memenuhi hasrat ini, program-program yang menjurus ke arah pematangan minda siasi seumpama Kursus Kenegaraan, Bengkel Siasah, Bengkel Latihan Pilihanraya dan seumpamanya perlu dirintis di segenap peringkat secara matang dan terbuka. Aktiviti ini dipercayai mampu melahirkan para pekerja Islam yang lebih matang dan profesional.

Namun, perlu diingat bahawa dalam kerancakan melaksanakan tanggungjawab siasi, sewajarnya kita sentiasa berwaspada dengan had-had yang mengekang di persekitaran. Kebijaksanaan inovasi gerakan, di samping penghayatan semangat musyawarah dan muhasabah amat penting dalam menjamin gerak tindak yang optimum serta menyeluruh di segenap peringkat.

0 comments: