Qiadah Rabbaniyah Memimpin Massa

Filed under: by: Mujahid Muda

Membincangkan tentang kebugaran pimpinan mendepani cabaran massa merupakan antara agenda terpenting dalam usaha membentuk swadaya ummah yang kental dan meyakinkan. Hal ini menuntut suatu penelitian yang rapi dan analisa yang terperinci demi melahirkan wajah kepimpinan rabbani yang hakiki.

Demikianlah realiti keberkesanan sebuah kepemimpinan yang mengakari nadi ummah membuktikan Islam sejati. Rentetan daripada itu, kita wajar menyelongkar kembali ramuan bernilai dan resepi terkini ke arah pemupukan saf qiadi rabbani. Al-Ustaz Said Hawwa menegaskan dalam risalahnya Ihya' Rabbaniah, betapa gagasan rabbaniah adalah noktah penyelesaian segenap masalah sekitaran. Kegagalan dalam mewujudkannya akan mengundang kelemahan yang ketara dalam proses pendidikan generasi. Lantaran kepentingannya, kitab keutamaan-keutamaan dalam Harakah Islamiyyah hasil buah fikiran Al-Ustaz yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa ar-Rabbani perlu diberikan nafas baru pentakrifannya guna menjamin relevansi tuntutan thaqafi yang terpundak, kebutuhan akhlak yang multazam, kesuburan biah yang terpugar dan keistimewaan ruh yang terpancar.

Di sinilah perlu diperhati dan dihalusi bahawa rabbaniyyun yang kita ingin lahirkan bersama adalah mereka yang menjangkau usaha ketahap yang lebih tinggi kearah merealisaikan pimpinan yang mempunyai kualiti lantas mampu mencerna perancangan jemaah yang terancang dan strategik. Malah thaqafah yang bersemi mesra membajai akal, segera dipagarkan dengan akhlak hizbullah bermuqaddimahkan mahabbatullah, az-zillah terhadap mukminin dan al-'izzah terhadap kafirin. Seri itu dibungai pula dengan pendekatan persis Rasulullah S.A.W. zahir dan batinnya menyubur jiwa dalam jambangan murni majlis zikr dan ta'lim serta halaqah tadris yang mulia.

Meninjau penuh keinsafan rentak tari kepimpinan mahasiswa dan mahasiswi kini khususnya di tanah air ini, tampak begitu mengharukan kerana kekadang begitu jauh daripada bebayang unggul ar-Rasyidin, Umar Abdul Aziz, Salahuddin, al-Malik Zahir dan lain-lain. Kita sebenarnya begitu merindui sebuah ketumbukan pewaris anbiya' yang bersiaga memikul taklif kepimpinan dengan bekal ilmu yang menyemarak ruh perjuangan seiring tingkah perlakuan yang layak meraih ihsan ar-Rahman juga gempur berani pencinta syahid di medan. Pun begitu, yang jelas pada lingkung pandangan adalah sikap berkecuali dan pasif yang berkembang, tatkala sesekali dilamar untuk memimpin persatuan. Akibatnya, krisis kepimpinan terus bertalu-talu melanda, taklif bersekitar tuntutan amal Islami yang dipundakkan bertimbun tindan di atas bahu individu yang sama lalu membiarkan teori pembahagian tugas terbiar sepi. Ya, kita mungkin tidak punya quwwah seumpama Abu Bakar as-Siddiq, kita juga jauh daripada izzah Umar al-Kattab, jua sakinah Uthman Ibn Affann dan fathonah Ali Karamallahu wajhahu. Namun, apakah ini layak dicagarkan sebagai alasan untuk membiarkan amanah kepimpinan dipikul oleh mereka yang kurang berkelayakan? Mungkin mustahil kita menggapai haibah generasi pimpinan silam terbilang. Namun, adakah ini memberi rukhsah syar'iah untuk tidak melunaskan tuntutan qiadah? Fenomena yang terus-terusan berlaku ini, adakah petanda gilang kepimpinan ulama pada masa hadapan? Atau inikah suatu amaran yang menuntut muhasabah tuntas, segera dan penuh keinsafan bagi mengembalikan sinar keunggulan yang kian dimamah zaman?

Kita akur betapa kita masih mentah di era pentadbiran dan pengurusan paling efektif abad ini. Kita juga mengakui betapa kita tidak dilahirkan dengan serba serbi kehebatan untuk memimpin ummah secara langsung. Kita sedar, syakhsiah kita menuntut untuk digilap dengan sebaik mungkin guna menghidupkan pancaran qudwah yang sering dikaburi oleh kemalapan. Di sini kita menegaskan bahawa Kampus sebenarnya bukan sekadar medan latihan sampingan atau sekadar pemanas badan sebelum bergelanggang langsung di medan perjuangan sebenar. Akan tetapi ia adalah sebahagian daripada episod kehidupan anak-anak nusa di perantauan yang menagih untuk dilunaskan tuntutan hidup berjemaah dibawah suatu kepimpinan yang menentukan nilai deen, taqwa dan ubudiyyah. Lantas, kita bersama tertuntut untuk membentuk suatu saf kepimpinan yang berangkai di setiap peringkat dengan wajah yang terbaik bagi memastikan iklim hayat para pejuang dilatarkan dengan biah solehah yang layak beroleh anugerah aman dan harmoni daripada Allah.

Ternyata, dinamika sikap dalam menyelesaikan masalah kepimpinan atas dasar tanggungjawab beragama adalah suatu kebutuhan yang tidak boleh dikesampingkan sama sekali. Membiarkan amanah mewujudkan barisan pimpinan terbaik dengan sambil lewa apatah lagi mengabaikannya begitu sahaja adalah manifestasi kelemahan penghayatan deeni dan kecelaruan faham dalam amal islami.

Dalam rangka melahirkan ar-rabbaniyyin yang berkeupayaan untuk mengemudi ummah, bukan sedikit yang harus dikorbankan dan bukannya murah harga yang perlu dibayar. Menyedari ini merupakan tuntutan yang begitu besar impaknya kepada kekuatan ummah, segenap lapisan ahli perlu bersama dipugar puing-puing kesedarannya sehingga seluruh pejuang kita berasa thabat bahawa diri masing-masing perlu dipersiapkan sesiaga mungkin demi memenuhi taklif rabbani ini. Sekaligus, hambatan sikap negatif dan tabiat pesimis perlu dinyahkan segera daripada diari hidup seharian.

Kita kini, semalam dan akan datang akan cuba membuka jalan dan mendedahkan khalayak mahasiswa dan mahasiswi kita dengan pelbagai pendekatan dan kursus untuk memartabatkan upaya memimpin masyarakat kampus sehingga mampu memaut thiqah ummah di tanah air.

Dalam pada itu, keupayaan memimpin akan lebih terserlah dengan kemahiran dan kebijaksanaan berbicara terutamanya ketika di khalayak umum. Namun begitu, kekadang inilah juga alasan yang segera disajikan tatkala diminta memikul amanah kepimpinan. Segala macam gagap gugup, fobia dan trauma diajukan bagi menidakkan taklifan diri. Nyata, memang terlalu sedikit yang dianugerahi nikmat born to be a speaker dan kita mungkin daripada spesis insan biasa sahaja yang diuliti sejuta satu kelemahan. Akan tetapi layakkah kita berdiam diri dan tidak berusaha sekali-sekala membina diri dengan santap rohani penguat azam dan peribadi malah menyerahkan kepada takdir semata-mata. Awas, kekadang anugerah yang Allah berikan sengaja diberikan lapisan pelitup malah mungkin seutuh ruyung untuk dinilai sejauh mana ikhtiar kita bagi menggapai darjat kemuliaan di sisiNya. Adakah sekadar mencagarkan sengih dan senyum sahaja atau mengeksploitasi segenap kekuatan demi menyahut seruan ar-Rahman.

Justeru, marilah kita bersama-sama menilai kembali setakat manakah usaha yang telah kita gembleng bersama ke arah mengembalikan izzah qiadah rabbaniah dalam rangka memimpin sebuah kesatuan yang berpijak di bumi nyata. Pasti, kemampuan kita membentuk dan menyusun barisan qiadah yang kental di segenap penjuru adalah petanda baik dan cerahnya harapan kepimpinan ulama di tanah air kita esok dan detik-detik yang mendatang.

0 comments: