RAYUAN LINA JOY DITOLAK, ADAKAH MELAMBANGKAN KEKEBALAN MAHKAMAH SYARIAH?

Filed under: by: Mujahid Muda

Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah menyelamatkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat muslim Malaysia berkenaan kredibiliti serta kewibawaan perlembagaan dalam konteks melindungi kekebalan agama Islam sebagai agama rasmi bermaruah. Beliau yang disokong oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Mohd Sherif bagaimanapun telah dibantah oleh Hakim Besar Sabah iaitu Datuk Richard Malanjum. Datuk Richard berpendapat bahawa arahan mahkamah agar Lina Joy perlu mendapatkan perakuan murtad daripada mahkamah syariah terlebih dahulu adalah tidak munasabah memandangkan Mahkamah Syariah menganggap murtad sebagai suatu jenayah berat.

Hakim Negara dan Hakim Persekutuan telah membenarkan pihak JPN yang meminta Lina Joy untuk mendapatkan perakuan murtad terlebih dahulu sebagai syarat tambahan JPN untuk mahkamah sivil mengisytiharkan murtad seseorang individu.

Bagi datuk Richard isu tukar agama adalah suatu isu melibatkan perlembagaan iaitu hak asasi seseorang untuk memilih agama serta mengamalkan agamanya di Malaysia. Padanya lagi akta 121(1A) yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah hanya boleh berkuasa dalam ruang lingkup kelakuan perundangan Islam sahaja. Sekiranya seseorang itu ingin memilih halatuju hidup berasaskan hak asasi rakyat Malaysia maka 121(1A) tidak lagi relevan untuk menjadi rujukan apatah lagi sebagai salah satu kuasa penentu dalam kes murtad.

Walau atas apa justifikasi sekalipun, keputusan JPN untuk menambah syarat untuk penukaran istilah agama pada kad pengenalan serta keputusan tegas Ketua Hakim Negara yang selaras dengan aspirasi rakyat majoriti di Malaysia perlu dipuji dan dihargai.

Walaubagaimanapun kegusaran rakyat muslim di Malaysia belum selesai sekiranya masih tiada jaminan dalam penafsiran perlembagaan terutama melibatkan isu hak kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Ketua Hakim Negara juga berpendapat bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara yang istimewa berbanding agama yang lain dan termaktub dalam perlembagaan dalam artikel 3(1). Hal ini menyebabkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan seseorang untuk melaksanakan agamanya tidak boleh ditafsir terlalu luas sehingga menidakkan hak seseorang melayu untuk ditafsirkan sebagai seorang yang Islam. Artikel 11 juga tidak boleh mendominasikan kerangka laku sehingga memudahkan muslim menukar agama kepada agama lain atas tiket hak asasi.

Melayu ditafsir oleh perlembagaan Malaysia sebagai seorang yang beragama Islam. Agama lain juga dicegah untuk disebarkan kepada orang Islam melalui peruntukan perlembagaan. Hal ini tegas dan konkrit. Tiada lagi ruang untuk memugar persetujuan yang sebenarnya telah lama dipersetujui oleh semua kaum di Malaysia.

JPN memohon untuk menambah syarat penukaran istilah agama pada MYKAD sebagai pencegahan kepada golongan yang ingin sewenangnya mengelak daripada tindakan mahkamah syariah melalui tindakan mudah menukar ke agama lain. Usaha JPN itu direstui oleh mahkamah baru-baru ini. Datuk Fairuz juga berpendapat bahawa menganut Islam bukan sekadar mengakui teologi semata-mata (bukan sekadar percaya sahaja) sebaliknya memerlukan perlambangan tindakan undang-undang menurut agama itu sendiri. Seseorang muslim di Malaysia terikat dengan akta 121(1A) terutama kaum melayu yang sewajarnya tiada istilah murtad jika mereka masih ingin memiliki status melayu bumiputera.

Pada saya kegusaran umat Islam hanya ditenangkan seketika cuma. Imunisasi aqidah umat Islam amat diperlukan jika umat Islam inginkan kemajuan negara seiring dengan pegangan semangat tauhid yang utuh dan bukannya semakin luntur seperti yang terjadi kepada gelagat kemajuan bangsa Eropah.

0 comments: